sukarnya memberi kemaafan


Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 133-134:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Alangkah indahnya susunan ayat-ayat Allah. Memaafkan kesalahan orang lain bukan sesuatu yang senang mereka sebahagian daripada kita. Memberi maaf menunjukkan seseorang individu itu berjiwa besar di sisi Allah, bahkan jua di sisi manusia sendiri. Bukan mudah memaafkan orang lain terutama ketika anda sedang marah pada individu tersebut. Memohon maaf ketika mereka sedang marah bukanlah cara terbaik untuk dimaafkan. Ramai di antara kita tidak menyedari situasi ini.

Namun nilai kemaafan ini makin tinggi nilainya apabila anda mampu melakukannya demikian. Mengapa begitu sukar memaafkan orang lain? Adakah anda sedar bahawa Rasulullah sendiri memaafkan kesalahan umatnya, apakah anda lebih hebat dari nabi. Satu yang menjadi persoalan kita, seandainya orang yang memohon maaf itu melakukan kezaliman yang hebat kepada anda, adakah setelah anda memaafkan mereka anda mampu membina persaudaraan seperti sedia kala?

Sukar untuk dijelaskan kerana ianya melibatkan hati masing-masing. Tetapi apa yang paling utama, kemaafan akan perlahan-perlahan menjernihkan suasana yang keruh. Sekalipun kejernihan perhubungan itu tidak sejernih sebelumnya, sekurang-kurang anda telah membina hati yang besar di dalam diri anda.