KEPENTINGAN WANITA MENUTUP AURAT MENURUT SIASAH SYAR’IYYAH

Hasnan Kasan

Pusat Pengajian Umum
Universiti Kebangsaan Malaysia
Setiap hukum yang diturunkan oleh Allah Taala mempunyai tujuan dan hikmah yang pasti mendatangkan kebaikan untuk manusia. Ini kerana menghasilkan kebaikan atau maslahat bagi manusia merupakan tujuan utama syariat Islam diturunkan. Justeru itu ahli feqah telah mengkategorikan kebaikan manusia yang perlu dijaga kepada tiga kategori iaitu maslahah daruriat, hajiat dan tahsiniat. Maslahah daruriat bermakna segala kepentingan yang mesti dijaga oleh manusia, sekiranya tidak, kehidupan manusia akan menjadi pincang. Maslahah daruriat ini mengandungi lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, kehormatan dan harta. Setiap satu dari lima perkara ini amat dijaga oleh syariat Islam melalui dua bentuk iaitu berbentuk perintah dan larangan serta berbentuk hukuman.
Dalam tulisan ini ingin dibincangkan dua dari lima perkara yang mesti diberi perhatian oleh manusia iaitu agama dan kehormatan. Di sinilah relevannya perbincangan falsafah aurat wanita. Jika ditanya mengapa wanita perlu menutup aurat? Maka jawapan yang paling ringkas yang boleh diberikan ialah untuk menjaga agama dan kehormatan manusia sejagat. Bagaimana? Jawapannya ialah: agama Islam mahu kehidupan manusia di dunia ini berjalan dalam keadaan yang tenang dan tenteram dalam semua bentuk perhubungan samada perhubungan manusia dengan Tuhan, manusia dengan manusia atau manusia dengan makhluk lain. Kunci bagi ketenteraman ini adalah hati sebagaimana yang diungkap oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam badan manusia ada seketul darah, apabila ia baik maka akan baiklah seluruh jasad (tindakan-tindakannya), dan sekiranya ia rosak maka akan rosaklah segala jasad (tindakan-tindakannya). Ketuhuilah seketul daging itu adalah hati.”
Hati manusia ini pula melalui panduan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w boleh menjadi kotor dan boleh menjadi bersih dari segi rohaninya. Hati ini akan menjadi hitam apabila manusia terlalu tenggelam dalam memenuhi tuntutan syahwat yang dilarang oleh syariat Islam. Antara bentuk syahwat yang paling sukar dikawal oleh manusia ialah syahwat lelaki terhadap wanita sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah yang bermaksud:
“Diperhiaskan kepada manusia syahwat terhadap wanita, anak-anak ……” (Ali Imran: 14)
Oleh itu tidak hairan sekiranya pihak zionis dalam protokolnya untuk menghancurkan umat Islam menyenaraikan ‘merosakkan wanita’ sebagai salah satu senjata bagi melumpuhkan umat Islam. Ini kerana apabila wanita Islam berjaya dirosakkan termasuklah ‘menelanjangkannya’ maka semua lapisan masyarakat akan rosak dan terutama dari aspek hubungannya dengan Tuhan dan sensitivitinya terhadap disiplin syariat Islam.
Dengan itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa perintah menutup aurat bagi wanita dalam syariat Islam adalah bertujuan untuk membersihkan masyarakat Islam daripada ditenggelami oleh ‘gelora syahwat’ yang akhirnya akan mengakibatkan umat Islam lupa terhadap kewajipan-kewajipan yang perlu ditunaikannya terhadap Tuhan, agama, diri, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah maksud kebaikan manutup aurat adalah pulang kepada manusia itu sendiri. Selain daripada itu perintah menutup aurat ini juga adalah satu sifat ‘rahmat’ Allah terhadap kelemahan yang ada pada manusia samada lelaki atau perempuan dalam berdepan dengan kebangkitan dorongan seksual yang tidak kena pada tempatnya (yang dilarang oleh syarak).
Justeru itu al Quran telah memerintahkan wanita-wanita beriman supaya menutup aurat mereka dengan sempurna melalui firman Allah di dalam surah al Ahzab yang bermaksud:
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang-orang beriman: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh badan mereka”.(al Ahzab: 59)
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w amat menekankan tentang aurat. Antaranya Rasulullah s.a.w pernah mengungkapkan istilah ‘perempuan berpakaian tetapi telanjang’ di dalam salah satu hadis baginda. Ini kerana, sekalipun perempuan itu telah memakai pakaian tetapi pakaiannya tidak dapat mengelakkan fitnah yang boleh merosakkan hati dan perlakuan umat Islam. Daripada hadis ini juga para ulamak telah menggariskan panduan menutup aurat dalam Islam. Antara panduan yang telah diberikan ialah pakaian yang pakai hendaklah memenuhi kriteria-kriteria berikuat:
i.  Hendaklah menutup semua anggota yang termasuk dalam aurat iaitu seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan kecuali wanita yang mempunyai rupa paras yang terlalu cantik dan boleh menimbulkan fitnah apabila lelaki melihatnya. Maka wanita seperti ini wajib menutup seluruh tubuh badannya.
ii.  Pakaian yang dipakai hendaklah longgar dan tidak menunjukkan bentuk tubuh badan.
iii.  Pakaian tidak jarang hingga menampakkan kulit badan.
iv.  Menurut setengah ulamak warna pakaian hendaklah warna yang tidak menarik perhatian.
Kriteria-kriteria pakaian ini adalah bersifat mutlak tanpa mengalami apa-apa perubahan sejak dulu hingga ke bila-bila. Namun bagaimana bentuk pakaian yang perlu dipakai adalah terpulang kepada pengalaman dan persesuaian bagi individu menentukannya. Yang pentingnya ialah pakaian itu menepati kriteria-kriteria yang telah disebutkan di atas tadi. Di sinilah kadang-kadang timbul persoalan ‘antara fesyen dan tuntutan menutup aurat”. Ini adalah kadang-kadang kedapatan wanita yang mengenakan pakaian yang soolah-olah sinonim dengan nama pakaian di kalangan orang Islam seperti jubah dan tudung, tetapi hakikatnya ia adalah sebagai fesyen yang langsung tidak menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh syariat. Inilah yang mengelirukan masyarakat Islam sekarang ini.Tambahan lagilah perempuan-perempuan yang memakai pakaian ala-barat atau ala-timur yang langsung tidak menepati kriteria pakaian wanita Islam. Golongan wanita yang kedua ini adalah lebih buruk nasibnya samada di dunia atau di akhirat berbanding dengan golongan wanita pertama.
Setelah wanita memenuhi tuntutan menutup aurat ini maka kita akan dapat melihat masyarakat hidup dalam keadaan tenteram dan jauh dari perkara-perkara hodoh yang berlaku dalam masyarakat zaman kita seperti rogol di kalangan muhram dan sebagainya. Namun untuk memenuhi tuntutan ini bukan suatu yang mudah. Sama seperti tuntutan-tuntutan syariat lain, ia hanya akan upaya ditunaikan apabila wujudnya keimanan dan kesedaran di dalam diri seseorang wanita. Ini paksi persoalannya bagaimana menutup aurat terupaya dilaksanakan.
Secara ringkasnya dalam tulisan ini juga ingin dinyatakan bahawa bukti semasa dan terkini telah membuktikan kepada kita bahawa doktrin menutup aurat ini adalah benar-benar bermatlamatkan keharmonian individu, keluarga, masyarakat dan negara. Akibat daripada ramai wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna samada secara langsung mendedahkan diri di depan lelaki atau secara tidak langsung melalui media massa yang ada telah mengakibatkan berbagai jenayah dan penyimpangan seksual yang berlaku. Antara bala yang menimpa umat Islam di negara ini sejak akhir-akhir akibat daripada keingkaran terhadap menutup aurat ialah bencana seks bebas, sumbang mahram, rogol, seks luar tab’ei samada sesama manusia atau binatang dan pengguguran bayi yang semakin hari semakin menakutkan masyarakat (ini bukan bermakna punca segala penyelewengan itu adalah semata-mata datangnya daripada golongan wanita, kerana golongan lelaki juga mempunyai peranan dalam penyelewengan ini). Ini selain daripada bebanan yang terpaksa ditanggung oleh individu, keluarga dan negara. Individu mengalami trauma, keluarga menjadi pecah belah dan porak peranda serta negara terpaksa membelanjakan kos yang tinggi untuk menjalanlan rawatan pemulihan bagi mangsa dan pelaku jenayah ini.
Perintah menutup aurat dalam syariat Islam bukanlah bermakna satu usaha mengurung atau membungkus wanita-wanita Islam daripada terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti keluarga, sosial, ekonomi dan siasah yang wujud dalam negara ini. Malah ada setengah daripada aktiviti tersebut yang sampai ke tahap wajib disertai oleh wanita muslimah seperti bidang perubatan perempuan, pendidikan dan penyusunan masyarakat wanita itu sendiri. Secara logiknya kalau difikirkan, kalaulah wanita Islam tidak perlu berkecimpung dalam aktiviti manusiawi (bukan aktiviti haiwani) sudah pasti perintah menutup aurat tidak perlu diturunkan kerana mereka hanya bergaul sesama ahli keluarga mereka yang tidak memerlukan mereka menutup aurat sepertimana mereka bergaul dengan ajnabi.
Sebagai penutup, bolehlah dinyatakan di sini bahawa perintah menutup aurat terutamanya terhadap wanita/perempuan muslim adalah bertujuan seperti berikut:
i. Menjaga maruah sebagai seorang manusia yang mempunyai kehormatan diri.
ii. Memelihara keluarga daripada dilanda kekeruhan yang berpunca daripada gelora seks yang tidak dikawal hasil daripada aurat yang didedahkan.
iii. Mengawal masyarakat daripada dicemari dengan kekotoran sosial akibat daripada perbuatan tidak menutup aurat di kalangan wanitanya.
iv. Menyelamatkan perbelanjaan negara daripada dibelanjakan dalam merawat pelaku dan mangsa jenayah seksual yang berpunca daripada wanita yang tidak menutup aurat.
Dengan itu, apabila doktrin menutup aurat dilaksanakan oleh golongan wanita, maka akan terhasillah kejernihan sosial yang menjadi antara matlamat penurunan syariat Islam.